Kursus Pemeliharaan Lebah Kelulut Untuk Pendebungaan

Pihak AGROPOLIS UniSZA dengan kerjasama TKPM Besut dan Jabatan Pertanian Besut telah berjaya mengadakan aktiviti sulung untuk PTj iaitu Kursus Pemeliharaan Lebah Kelulut Untuk Pendebungaan pada 9 - 10 Jun yang lalu bertempat di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) , Tok Dor. Kursus itu diadakan selama 2 hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan disertai oleh 28 orang peserta projek fertigasi TKPM serta 10 orang staf UniSZA yang terlibat. Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengarah PLPP Wilayah Timur, Tuan Haji Amran bin Mohd Noor dan diselia sendiri oleh Pengarah AGROPOLIS UniSZA, Dr. Abd Jamil bin Zakaria. Kursus ini telah berjaya mencapai objektif penganjurannya iaitu untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang potensi penggunaan lebah kelulut dalam sektor pertanian dan memberi pengetahuan kepada peserta  tentang peranan kelulut dalam pendebungaan tanaman terutama dalam rumahhijau. Selain itu kursus ini juga mengajar  tentang tatacara pemeliharaan dan penjagaan lebah kelulut melalui kaedah hands-on kepada semua peserta, iaitu peserta sendiri berpeluang melakukan setiap proses pemindahan koloni lebah kelulut.

Pelbagai ilmu telah dikongsi bersama antaranya pemindahan koloni dari batang kayu ke dalam kotak kayu perlu dilakukan dengan berhati-hati terutama ketika membelah koloni agar alat pemotong tidak terkena telur dan ratu lebah. Dengan pengetahuan teknik ini juga, peserta telah diterangkan tentang kaedah untuk memecah koloni lebah daripada satu koloni kepada dua koloni. Dengan cara tersebut, pengusaha ternakan lebah kelulut dapat meningkatkan bilangan koloni dan seterusnya menambah hasil pengeluaran madu. Selain itu, peserta juga diajar cara membuat sarang tambahan ataupun koloni Topping.

Kursus ini berakhir dengan jayanya setelah majlis kurniaan sijil penyertaan kepada semua peserta yang telah diadakan pada majlis penutup.

Print Email