Ekspedisi Meneroka Lebah Tualang Jerteh

Written by agropolis on .

Institut AGROPOLIS UniSZA dengan kerjasama UniSZA B (Bikers)- Care buat julung kalinya telah menganjurkan program kembara bermotosikal mencari madu lebah tualang Jerteh yang terkenal dengan pelbagai khasiat semulajadinya. Program 1 hari ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor ( Penyelidikan & Pembangunan ), Prof. Dr. Hj. Mohd Ekhwan bin Hj. Toriman yang telah berlangsung pada 24 Ogos 2014 yang lalu telah disertai oleh penduduk setempat dan 29 orang penunggang motorsikal berkuasa tinggi dari Kuala Terengganu, Besut, Negeri Sembilan dan Putrajaya.

Aktiviti yang telah diadakan adalah taklimat mengenai madu lebah tualang, demonstrasi mengambil madu tualang oleh Encik Yunus bin Ismail selaku pemanjat pokok tualang, dan kaedah membela lebah tualang. Rata-rata peserta tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat sendiri bagaimana madu tualang diambil dari hutan walaupun mereka kepenatan kerana terpaksa berjalan kaki jauh ke dalam hutan simpan Jerteh selama satu jam setengah. Taklimat .ringkas dan padat oleh Pengarah AGROPOLIS UniSZA, Dr. Abd. Jamil bin Zakaria telah memberi banyak pengetahuan kepada para peserta untuk mengenal lebih dekat mengenai lebah tualang. Program ini turut mendapat kerjasama ADUN Hulu Besut, YB. Hj. Nawi bin Mohamad yang telah menaja makan tengahari di La Hot Spring. Kemudian, perjalanan ekspedisi pencarian madu lebah tualang ini disambung ke Kg. Jeram Linang, Machang yang mengambil masa lebih kurang 5 jam. Peserta mula masuk ke Hutan Jeram Linang jam 2 petang dan ekspedisi berakhir jam 7 petang.

Antara teknik yang digunakan oleh pemanjat madu lebah tualang profesional, Encik Yunus bin Ismail ini ialah penyediaan asap (mengasap). Teknik ini digunakan sepanjang proses menuai madu lebah tualang berkenaan. Setelah penuh baldi yang dibawa naik bersamanya, beliau akan turun ke bawah. "Dalam musim ini, bilangan sarang yang terdapat pada pokok tualang boleh mencapai 30 hingga 60 sarang sepokok dan hasil pengumpulan madu berkenaan boleh mencecah sehingga 20kg," kata En.Yunus. Khasiat yang terdapat dalam madu ini merupakan antara tarikan utama ianya mendapat permintaan ramai dan tidak hairanlah harga madu ini boleh mencecah hingga RM80 sekilo.

Bagi meningkatkan ekonomi pencari lebah madu tualang ini, AGROPOLIS UniSZA telah berhasrat untuk bekerjasama dengan mereka ini bagi mengkomersilkan madu tualang ini di bawah jenama 'Madu Tualang Jerteh'. Sebuah kawasan di Ladang Pasir Akar telah dikenalpasti bagi merialisasikan program ini yang mana nanti  AGROPOLIS UniSZA mampu berkembang sebagai hub kepada kajian saintifik lebah madu di Malaysia. Sekalung TAHNIAH kepada semua yang terlibat dalam menjayakan ekspedisi ini.